KAMALA Harris ketika menjawab soalan wartawan di Universiti Howard di Washington, DC kelmarin. FOTO AFP
Agensi

Washington: Senator Kamala Harris kelmarin mengumumkan hasratnya menjadi wanita Afrika-Amerika pertama Presiden Amerika Syarikat (AS) sekali gus menyertai beberapa tokoh Demokrat untuk mencabar Presiden Donald Trump.

“Masa depan negara kita bergantung pada anda dan jutaan lagi untuk mengangkat suara kita bagi memperjuangkan nilai-nilai Amerika. Sebab itu saya mahu bertanding jawatan presiden AS,” kata senator dari California itu dalam satu video di Twitter.

Kamala, 54, menyertai beberapa tokoh Demokrat termasuk Senator Elizabeth Warren dari Massachusetts, Anggota Kongres Hawaii, Tulsi Gabbard, Senator New York, Kirsten Gillibrand dan bekas Setiausaha Perumahan AS, Julian Castro.

Semua ahli politik berkenaan mengumumkan atau menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pemilihan calon Presiden AS untuk parti demokrat pada 2020.

Hampir 22 bulan sebelum Pilihan Raya Presiden AS 2020, perebutan ke Rumah Putih berjalan rancak dengan rakyat AS mula melihat siapa calon dari parti pembangkang untuk mencabar Trump.

Kamala membuat pengumuman itu pada cuti umum bagi memperingati Martin Luther King Jr dan katanya, ibu bapanya turut bersama-sama menyertai pergerakan ikon hak asasi manusia itu.

“Saya berasa bangga kerana dapat membuat pengumuman ini pada hari kita memperingatinya.

“Keluarga saya sangat aktif dalam pergerakan hak asasi manusia dan itu adalah bahasa yang saya dengar ketika membesar.

“Kami juga percaya negara ini diasaskan dengan niat yang mulia dan kita menjadi yang terbaik apabila berjuang mencapai niat itu,” katanya kepada program Good Morning America.

Bapa Kamala adalah seorang pendatang dari Jamaica manakala ibunya berbangsa Tamil dari India dan dia membesar di kawasan miskin di Oakland, California.

Dia juga pernah berkhidmat sebagai pendakwa raya daerah San Francisco dan peguam negeri California.

Pada Januari 2017 Kamala mengangkat sumpah sebagai senator Caliornia menjadikan dia sebagai wanita berketurunan Asia Selatan pertama dan wanita kulit hitam kedua dalam sejarah AS menjadi Senator.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 11:01 AM