KEADAAN pusat latihan dan pejabat agensi perisikan Afghanistan di wilayah Maidan Wadak yang runtuh akibat serangan bom kereta kelmarin. FOTO EPA
Agensi

Kabul: Sekumpulan militan Taliban menggunakan sebuah kenderaan Humvee yang dicuri untuk melancarkan serangan bom kereta di sebuah kem tentera Afghanistan yang meragut lebih 100 anggota keselamatan.

Pegawai pertahanan memberitahu, kenderaan itu yang penuh dengan bahan letupan merempuh pusat pemeriksaan di sebuah pusat latihan tentera di Maidan Shahr kelmarin sebelum meletup.

Dua lelaki bersenjata kemudian menyerbu masuk dan melepaskan tembakan ke arah tentera yang terselamat sebelum mereka ditembak mati.

Kumpulan itu dipercayai menggunakan kenderaan Humvee buatan Amerika Syarikat yang mereka curi dari tentera Afghanistan untuk melancarkan serangan nekad berkenaan.

Satu sumber di wilayah Maidan Wardak lokasi serangan itu berlaku, memberitahu lebih 100 anggota Jabatan Keselamatan Nasional (NDS), sebuah agensi perisikan di Afghanistan terbunuh dalam serangan berkenaan.

“Saya berhubung dengan pegawai DNS di wilayah itu dan mereka memberitahu lebih 100 anggota mereka terbunuh dalam letupan berkenaan,” katanya.

Anggota majlis wilayah Maidan Wardak, Sharif Hotak pula memberitahu, dia melihat mayat 35 anggota keselamatan Afghanistan di hospital.

“Ramai yang terbunuh. Beberapa mayat dipindahkan ke Kabul dan ramai yang cedera juga dibwa ke hospital di bandar itu.

“Letupan itu sangat kuat. Seluruh bangunan itu runtuh,” katanya.

Pada minggu lalu, militan Taliban meletupkan sebuah bom kereta di sebuah kawasan yang dikawal dan berkubu di Kabul menyebabkan lima terbunuh serta lebih 110 orang lagi termasuk warga asing cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 9:49 AM