ABU Bakar (tengah) bersama Yusril Ihza Mahendra (kanan) yang melawatnya di penjara di Bogor pada 18 Januari lalu. Pemimpin pertubuhan Jamaah Ansharut Tauhid (JAT) itu dibebaskan dengan pengampunan Presiden Jokowi. - Antara via Reuters
Agensi

Jakarta: Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Lukman Hakim Saifuddin, meminta rakyat negara itu memaafkan ulama Abu Bakar Ba’asyir yang terbabit dalam pengeboman Bali 2002 selepas dia dibebaskan dengan pengampunan presiden.

Beliau meminta rakyat menyokong keputusan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo membebaskan Abu Bakar selepas lapan tahun dipenjara, atas faktor umur dan kesihatan.

“Semua agama menggalakkan kita memaafkan, walaupun yang paling besar kesalahan. (Abu Bakar) keadaan tidak baik, semakin lemah kerana faktor usia dan sakit,” katanya yang disiarkan Antara.

Jakarta Post melaporkan, menurut menteri itu, usia menjadi faktor utama menyokong pembebasan Abu Bakar yang kini berusia 81 tahun selain sudah menjalani dua pertiga daripada hukuman penjaranya.

“Beliau terlalu tua, teramat tua,” katanya.

Abu Bakar dibebaskan dari Penjara Gunung Sindur di Bogor, Khamis lalu, dengan perkenan Jokowi. Tidak dapat dipastikan sama ada Jokowi memberi pengampunan atau pembebasan bersyarat.

Namun, Jumaat lalu, anak ulama itu, Abdul Rahim berkata, keluarganya menerima berita daripada peguam menyatakan presiden memberi pengampunan kepada bapanya.

Abu Bakar adalah pemimpin agung pertubuhan Jamaah Ansharut Tauhid (JAT). Beliau dijatuhkan hukuman 15 tahun penjara oleh Mahkamah Daerah Jakarta pada 2011 selepas didapati bersalah membiayai kem latihan militan untuk pengganas di Aceh.

Beliau juga didapati bersalah terbabit dalam pengeboman Bali 2002 yang membunuh lebih 200 orang. Bagaimanapun, pada 2006, Mahkamah Agung menerima petisyen rayuan kesnya dan Abu Bakar dibebaskan daripada semua tuduhan.

Keputusan Jokowi itu dibuat beberapa bulan sebelum pilihan raya presiden April depan, mencetuskan spekulasi ia bermotifkan politik.

Yusril Ihza Mahendra, peguam yang terbabit dalam pasukan kempen Jokowi - Ma’ruf Amin, menolak dakwaan itu dengan menyatakan keputusan presiden berdasarkan aspek kemanusiaan.

Menurutnya, ulama itu akan kembali ke kampungnya di Surakarta, Jawa Tengah, untuk tinggal bersama anak lelakinya.

Pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU), menyokong tindakan Jokowi dan meminta rakyat menghormati keputusan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 11:01 AM