KOMANDER Tess Walsh memberitahu sindiket itu sudah beroperasi sejak 5 tahun lalu. FOTO ABC NEWS
Reuters

SYDNEY: Seorang kru kabin syarikat penerbangan Malaysia adalah antara lapan yang ditangkap di Australia atas dakwaan menyeludup lebih 14 kilogram heroin, kokain dan methamphetamin, kata pihak berkuasa Australia hari ini.

Jurucakap polis mengesahkan laporan media bahawa suspek yang bertugas dengan Malindo Air, anak syarikat Lion Air yang beribu pejabat di Indonesia.

Anggota kru kabin berusia 38 tahun itu ialah sebahagian kumpulan yang membawa dadah dari Malaysia dalam pesawat untuk dijual di bandar raya Australia, kata polis dan pegawai kastam dalam kenyataan.

Kumpulan itu, yang dipercayai polis dikendalikan sindiket jenayah Vietnam, berpangkalan di Melbourne, kata Penolong Pesuruhjaya Unit Jenayah Polis Victoria, Tess Welsh.

Polis merampas kira-kira 14 kilogram dadah apabila suspek ditangkap tetapi mereka dipercayai sudah lama menyeludup dadah.

“Perisikan memberitahu kami kru sudah beroperasi beberapa tahun. Saya boleh katakan sudah lebih lima tahun,” kata Walsh.

Australia adalah pasaran lumayan bagi pembekal dadah dari Asia Tenggara.

Ia mencatatkan antara kadar penggunaan methamphetamine perkapita tertinggi dunia, menurut statistik kerajaan.

Polis berkata, mereka membuat lapan tangkapan sejak 10 hari lalu, menahan empat wanita dan empat lelaki berusia antara 26 dan 55 tahun di dan sekitar Melbourne.

Polis merampas enam kilogram heroin, lapan kilogram methamphetamine, 500 gram kokain, selain sejumlah besar wang tunai dan kereta Porsche Macan SUV dan Mini Cooper.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 4:15 PM