KAKITANGAN keselamatan lapangan terbang Jerman melakukan mogok tuntut kenaikan gaji. FOTO EPA
Reuters

FRANKFURT: Kira-kira 220,000 penumpang terjejas apabila kakitangan keselamatan di lapan lapangan terbang Jerman melakukan mogok hari ini, menuntut kenaikan gaji, kata persatuan lapangan terbang ADV

Pengawal keselamatan di lapangan kecil seperti Hamburg, Hanover dan Bremen memulakan mogok sejak tengah malam manakala mereka yang berada di Frankfurt menyertai mereka dua jam kemudian, dengan sasaran mogok dilakukan hingga jam 8.00 malam waktu tempatan.

Mogok juga dijangka bakal dilakukan di Munich, Leipzig, Dresden dan Erfurt yang dijangka menjejaskan ratusan penerbangan terpaksa dibatalkan.

Tindakan terkini lima buah lapangan terbang yang menyusul mogok itu minggu lalu mendapat kecaman ADV kerana ia dianggap keterlaluan.

Pengendali lapangan terbang Frankfurt, Fraport menjangka 470 daripada 1,200 laluan bakal terjejas.

Penerbangan Lufthansa berkata, ia bakal membatalkan kira-kira 500 penerbangan, 28 daripadanya penerbangan antara benua, manakala anak syarikat syarikat itu, Eurowings mengesahkan 120 daripada 700 penerbangan turut terjejas.

Lapangan Terbang Munich berkata, walaupun Verdi (perunding) turut mengajak kakitangan lapangan terbang itu mengadakan mogok tetapi pemeriksaan keselamatan penumpang dilakukan oleh kontraktor sektor awam dan mereka sudah pasti tidak akan mogok.

Bagaimanapun, beberapa penerbangan mendarat dan berlepas yang terjejas akan dibatalkan.

Verdi adalah perunding bagi pihak 23,000 kakitangan keselamatan di Jerman. Perbincangan dengan semua pekerja dijangka berakhir pada 23 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 3:59 PM