SEBUAH kenderaan yang musnah dalam letupan kuat yang memusnahkan sebuah kedai bakeri di tengah Paris. FOTO AFP
AFP

PARIS: Letupan kuat memusnahkan sebuah bakeri di tengah Paris pagi ini, menyebabkan 12 cedera, lima daripadanya kritikal dan menerbangkan puluhan tingkap di kawasan berhampiran dalam kes disyaki kebocoran gas.

Kira-kira 200 anggota bomba dikerah memadamkan kebakaran yang berlaku selepas letupan dan menyelamatkan penduduk di bangunan berdekatan, kata Menteri Dalam Negeri, Christophe Castaner, kepada wartawan di lokasi kejadian.

Polis menutup jalan di depan teater Opera ketika dua helikopter perkhidmatan kecemasan mendarat di atas jalan raya, untuk memindahkan dua mangsa.

“Angka kemalangan nampaknya tinggi dan keadaan mereka teruk,” kata Castaner, menambah 100 anggota polis menyekat beberapa jalan di kawasan yang menempatkan restoran dan pusat tarikan pelancong seperti muzium lilin Musee Grevin dan Rue des Martyrs.

Letupan berlaku sejurus selepas jam 9.00 pagi waktu tempatan dan didengari penduduk dan pekerja beberapa blok dari situ.

“Saya sedang tidur dan terbangun disebabkan gelombang letupan.

“Semua tingkap pangsapuri meletup, pintu diterbangkan, saya terpaksa berjalan di atas pintu untuk meninggalkan bilik, semua anak panik, mereka tidak dapat keluar bilik,” kata Claire Sallavuard, yang menetap di Rue de Trevise.

Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan tangga untuk memindahkan keluarga itu yang tinggal di tingkat pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 7:26 PM