Lokasi lelaki Muslim didenda di Switzerland kerana melaungkan 'Allahu Akbar' di tempat awam ketika ternampak kawannya di Schaffhausen tahun lalu. FOTO Agensi/Daily Mail
Agensi

Zurich: Lelaki Islam yang melaungkan Allahu Akbar ketika bertemu rakannya di tempat awam didenda sebanyak 210 Swiss franc (RM888) selepas ditahan polis yang menyangkakan dia cuba melakukan aktiviti keganasan.

Daily Mail melaporkan, kejadian berlaku pada Mei tahun lalu apabila polis bandar Schaffhausen yang lengkap bersenjata menahan dan melakukan pemeriksaan terhadap dirinya kerana bimbang lelaki berusia 22 tahun itu akan mencetuskan huru hara.

Orhan berkata, polis mengambil tindakan itu selepas dia melaungkan Allahu Akbar ketika bertemu seorang rakan.

“Polis secara tiba-tiba memanggil saya dan bertanya apa dimaksudkan dengan ucapan itu. Saya menjelaskan, kami menggunakan Allahu Akbar sebagai ucapan dan hampir dalam semua ayat.

“Saya diancam akan dipenjarakan jika tidak membayar denda. Saya dilahirkan di sini (negara ini) dan tidak pernah mengalami pengalaman seperti itu,” katanya.

Dia pada mulanya diarahkan membayar denda sebanyak 150 Swiss franc namun terpaksa membayar 60 Swiss franc lagi menjadikan semuanya berjumlah 210 Swiss franc (RM888).

Jurucakap polis berkata, terdapat kemungkinan tindakan lelaki terbabit menimbulkan suasana takut kepada orang ramai ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 3:36 PM