ZIRAFAH yang dijangkiti virus papilloma di Taman Negara Kruger, Afrika Selatan. FOTO Agensi
Agensi

ZIRAFAH unik yang kelihatan seperti pokok ditemui oleh jurugambar di Taman Negara Kruger, Afrika Selatan.

Daily Mail melaporkan, badan haiwan berkenaan sebenarnya dipenuhi dengan benjolan seperti kulit kayu akibat virus papilloma yang disebarkan oleh burung oxpecker yang memakan kutunya.

Jurugambar hidupan liar yang juga kakitangan awam dari Oxfordshire, England, Helen Olive berkata, dia pada mulanya tidak sedar mengenai keadaan kulit zirafah itu.

“Pada mulanya, saya tidak nampak perkara pelik kerana zirafah itu berdiri di belakang semak dan pokok, tetapi kemudiannya saya perasan ia mempunyai penyakit seperti virus,” katanya yang berpengalaman mengambil gambar selama 15 tahun.

Meskipun virus itu tidak mengancam nyawa, namun ia akan menyebabkan kegatalan pada kulit sehingga mengakibatkan luka dan akan mencetuskan jangkitan.

Virus papilloma boleh menjangkiti pelbagai spesies haiwan dan manusia, dan peningkatan jangkitan adalah berlainan serta bergantung kepada haiwan yang dijangkiti.

Dianggarkan lebih 30,000 zirafah dilindungi di Afrika Selatan selepas pelbagai usaha dibuat bagi melindungi haiwan itu daripada pemburu dan jangkitan penyakit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 12:19 PM