ANGGOTA paramedik membawa mayat mangsa. - Agensi
AFP

PATTANI: Empat pengawal sukarelawan ditembak mati di sebuah sekolah di selatan Thailand semalam, tidak jauh dari pelajar yang berada hanya beberapa meter dari lokasi serangan.

Semua lelaki yang terbunuh itu beragama Islam dan bertugas di sebuah sekolah di daerah Yarang, wilayah Pattani apabila ditembak beberapa penyerang bersenjata.

Jurugambar AFP di lokasi kejadian melihat mayat mangsa yang lengkap berpakaian seragam terbaring berlumuran darah.

“Mereka ditembak dan mati di lokasi kejadian. Penyerang turut merampas empat raifal,” kata jurucakap polis Yarang, Wicha Nupannoi.

Menurutnya, penyerang dipercayai anggota pemisah dan tiada saksi melihat kejadian itu yang berlaku sebelum waktu makan tengah hari.

Sukarelawan pertahanan awam bersenjata terdiri daripada penduduk beragama Islam atau Buddha yang dibayar gaji rendah dan kurang terlatih, membantu mengawal lokasi penting termasuk sekolah sebagai sokongan kepada pasukan keselamatan di selatan negara itu.

Konflik di selatan Thailand yang masuk tahun ke-15 meragut ribuan nyawa termasuk guru dan pegawai tempatan yang mempunyai hubungan dengan kerajaan hingga pihak berkuasa terpaksa meletakkan pengawal di sekolah.

Jumlah korban akibat konflik itu mencatat rekod paling rendah pada tahun lalu ketika kerajaan meningkatkan kawalan keselamatan dan operasi di wilayah berkenaan.

Bagaimanapun, sejak beberapa minggu lalu, menyaksikan peningkatan keganasan yang menunjukkan kumpulan pemisah masih mampu melancarkan serangan.

Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang mengawal kebanyakan anggota penentang dalam satu kenyataan pada 4 Januari lalu, berikrar meneruskan perjuangan mereka.

“Siam (Thailand) tidak boleh bertahan. Jangan bantu dan sokong Siam,” kata BRN dalam kenyataan yang sangat jarang dikeluarkan.

Rundingan damai yang berlarutan antara kerajaan Thailand dan satu kumpulan yang mendakwa mewakili penentang masih gagal mencapai sebarang persetujuan.

Bagaimanapun, Bangkok dan juga Malaysia yang menjadi orang tengah rundingan berkenaan yakin satu perjanjian damai akan dimeterai tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 6:45 AM