TRUMP ketika keluar dari perbincangan dengan wakil Demokrat mengenai pembiayaan tembok di sempadan dengan Mexico. - Agensi
AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengucapkan selamat tinggal sebelum keluar dari perbincangan dengan wakil Demokrat mengenai pembiayaan tembok di sempadan dengan Mexico, semalam.

“Buang masa saja. Saya kata ‘bye-bye’, tiada apa lagi boleh dibuat, tiada lagi yang berguna,” kata Trump melalui Twitter mengenai perjumpaannya dengan pemimpin kanan Demokrat.

Anggota Demokrat paling kanan dalam Senat, Chuck Schumer berkata, Trump ‘menghempas meja’ sebelum ‘bangun dan keluar.’

“Sekali lagi, kita melihatnya mengamuk kerana tidak mendapat apa dikehendakinya,” katanya.

Kedua-dua pihak juga saling menuding jari mengenai siapa bersalah sehingga pertemuan itu berakhir sedemikian.

Menurut penyokong Trump yang menghadiri mesyuarat itu, presiden bertanya pemimpin Demokrat sama ada mereka bersetuju membiayai projek pembinaan tembok itu jika dia meneruskan ‘menutup’ sebahagian kerajaan sejak isu itu bermula.

“Speaker Dewan Perwakilan Nancy Pelosi yang juga anggota Demokrat mengangkat tangan dan berkata, ‘Tidak, langsung tidak,” kata Republikan paling kanan, Kevin McCarthy yang turut menghadiri mesyuarat itu.

Naib Presiden. Mike Pence berkata: “Sekali lagi kita melihat pemimpin Demokrat enggan berunding.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 6:31 AM