GAMBAR diambil saksi di tempat kejadian menunjukkan teksi yang terbakar dalam kejadian itu. - AFP
AFP

SEOUL: Seorang pemandu teksi membakar dirinya sehingga mati kerana memprotes perkhidmatan perkongsian kenderaan diperkenalkan aplikasi sembang terbesar negara itu, kejadian kedua seumpamanya dalam sebulan.

Lelaki berusia 64 tahun itu yang hanya dikenali sebagai Im meletakkan keretanya berhampiran kedutaan Amerika Syarikat di pusat bandar Seoul sebelum kenderaannya dijilat api.

Menurut saksi, pemandu itu masih sedarkan diri ketika keluar dari keretanya dalam kejadian lewat Rabu itu.

Dia dibawa ke hospital berhampiran namun meninggal dunia beberapa jam kemudian, kata polis yang menemui botol petrol cair dalam kereta itu.

Agensi berita Yonhap melaporkan Im meninggalkan nota menggesa pengharaman apa digelarnya sebagai ‘perkongsian kereta haram.’

Dia pemandu teksi kedua dalam tempoh sebulan membakar diri memprotes perkhidmatan perkongsian kenderaan itu yang dihasilkan aplikasi sembang Kakao.

Selepas kematian pemandu pertama, bulan lalu, Kakao menangguhkan pelancaran rasmi perkhidmatan berkenaan yang sepatutnya dilakukan pada 17 Disember lalu.

Skim Mobiliti Kakao yang pada masa ini masih di peringkat percubaan, membolehkan pemandunya hanya menawarkan khidmat dua kali dalam sehari. Namun pemandu teksi memprotes perkhidmatan itu yang dianggap mampu menggugat pendapatan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 6:15 AM