RAKAMAN diambil secara rahsia dalam bilik persalinan. Foto Daily Mail
AFP

SEOUL: Seorang wanita yang juga pengasas bersama laman web lucah terbesar Korea Selatan dipenjara empat tahun dan didenda 1.4 bilion won (RM5.1 juta) susulan kemarahan awam terhadap penyebaran bahan lucah yang dirakam secara rahsia.

Wanita yang hanya dikenali sebagai Song, 45, itu didapati bersalah membantu dan bersubahat dalam penyebaran bahan lucah termasuk video seks membabitkan golongan bawah umur.

Song yang mengasaskan Soranet pada 1999 dengan suaminya dan dua yang lain ‘merosakkan maruah serta harga diri orang secara serius,’ kata mahkamah dalam satu kenyataan. Ia menambah, dia juga menikmati keuntungan tinggi hasil laman web berkenaan.

Puluhan ribu wanita mengadakan perhimpunan sejak beberapa bulan lalu membantah fenomena video ‘spycam’ dikenali di Korea sebagai ‘molka’ yang lazimnya membabitkan lelaki merakam wanita tanpa izin mereka di dalam tandas, bilik persalinan malah di tempat awam.

Soranet - yang mempunyai lebih sejuta pengguna sehingga ditutup pada 2016 susulan kemarahan orang ramai - menyiarkan ribuan klip video seperti itu selain bahan lucah lain. Menghasilkan dan mengedarkan semua jenis bahan lucah diharamkan Korea Selatan.

Song tinggal di New Zealand sejak beberapa tahun lalu namun ditahan pada Jun lalu apabila pulang ke Seoul selepas pihak berkuasa membatalkan pasportnya.

Suaminya dan satu lagi pasangan yang juga pemilik bersama laman web itu - semuanya mempunyai status kewarganegaraan atau penduduk tetap Australia - masih di luar negara.

Jenayah spycam yang dilaporkan di Korea Selatan meningkat daripada sekitar 1,100 pada 2010 kepada lebih 6,500 pada 2017, dengan kebanyakan video dikongsikan atau dijual dalam talian.

Menurut statistik rasmi, 98 pesalahnya adalah lelaki malah membabitkan guru, profesor, dan anggota polis, manakala lebih 80 peratus mangsa adalah wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 1:37 PM