MAIA. Foto Reuters
Reuters

MANILA: Seorang bekas pengurus bank didapati bersalah oleh mahkamah hari ini atas lapan tuduhan pengubahan wang haram, dalam sabitan pertama membabitkan rompakan siber terbesar dunia yang melihat AS$81 juta (RM331 juta) dicuri dari bank pusat Bangladesh hampir tiga tahun lalu.

Mahkamah daerah menjatuhkan hukuman penjara antara 32 hingga 56 tahun terhadap Maia Deguito, bekas pengurus cawangan di Rizal Commercial Banking Corp (RCBC) dengan setiap tuduhan dikenakan hukuman empat hingga tujuh tahun.

Dia juga diarahkan membayar denda kira-kira AS$109 juta (RM446 juta).

Pada Februari 2016, penjenayah menggunakan perintah palsu pada sistem pembayaran SWIFT untuk mencuri dana dari bank pusat Bangladesh di Federal Reserve Bank New York.

Wang itu dihantar ke beberapa akaun di cawangan RCBC di Manila yang ketika itu diurus Maia, sebelum hilang dalam industri kasino di Filipina.

Dalam penghakimannya sepanjang 26 muka surat, mahkamah berkata: “Deklarasinya di mahkamah yang dia tiada kaitan dengan transaksi berkenaan satu penipuan semata-mata.”

Menurut mahkamah, Maia memudahkan, menyelaraskan dan menyokong pelaksanaan dan implementasi transaksi bank haram itu. Mai dibebaskan dengan jaminan sehingga rayuannya selesai.

RCBC disaman 1 bilion peso (RM78 juta) oleh bank pusat Filipina pada Ogos 2016 kerana gagal menghalang pergerakan wang dicuri itu melalui bank berkenaan. Hanya AS$15 juta (RM61 juta) wang itu berjaya diperoleh semula daripada operator junket di Manila yang memasarkan kasino kepada golongan kenamaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 12:12 PM