SPENCER membuat persediaan sebelum memulakan pelayaran merentasi Lautan Atlantik. - AFP
AFP

GIBRALTAR: Seorang bekas askar marin Britain menjadi individu kurang upaya pertama dari segi fizikal mendayung secara solo dan tanpa sokongan merentasi Lautan Atlantik dari tanah besar Eropah ke Amerika Selatan.

Orang ramai bertepuk tangan ketika Lee Spencer, 49, mula mendayung bot kecilnya dari marina di sini, ke bandar di La Linea de la Concepcion, selatan Sepanyol kelmarin.

Selepas tiba di La Linea, bot itu kemudian dibawa ke dalam treler untuk meneruskan perjalanan melalui laluan darat ke Portugal.

Spencer pada awalnya merancang memulakan pelayaran itu dari bandar ini tetapi cuaca buruk dan ombak besar di Selat Gibraltar memaksanya menukar titik pelepasan ke Portimao, di selatan Portugal.

Lelaki itu yang kudung kaki kanan berharap dapat memulakan perjalanannya secara rasmi pada pagi semalam.

“Saya gementar, bimbang, teruja, kesemuanya bergabung menjadi satu. Ia adalah permulaan simbolik perjalanan saya ke Amerika Selatan dari Gibraltar,” kata Spencer kepada media sebelum berlepas ke La Linea.

Rekod pertama untuk pendayung solo kurang upaya dari segi fizikal adalah pada 2004 apabila Stuart Boreham berlepas dari Pulau Canary, Sepanyol dan tiba ke Barbados, selama 109 hari, 12 jam dan sembilan minit.

Namun, Spencer menyasar mendarat di Cayenne, French Guyana, kurang 70 hari dan membawa bekalan makanan untuk 90 hari dalam pelayaran sejauh 5,600 kilometer menggunakan bot mendayung direka khas digelar Hope.

Jika berjaya, Spencer juga bakal mengalahkan rekod individu sempurna merentasi Atlantik secara solo antara tanah besar Eropah dan Amerika Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 6:15 AM