PIHAK Berkuasa Kawal Selia Media Elektronik Pakistan (PEMRA). FOTO Agensi
AFP

ISLAMABAD: Saluran televisyen Pakistan tidak boleh lagi menayangkan ‘saat intim’ antara pasangan atau ‘adegan atas katil’, menurut pengumuman pengawal selia media negara itu.

Agensi berkenaan turut merungut mengenai terlalu banyak kandungan bersifat feminis dan memberi amaran ‘tema berani’ seumpama itu menyinggung penonton.

Pihak Berkuasa Kawal Selia Media Elektronik Pakistan (PEMRA) mengeluarkan amaran itu semalam menggesa saluran televisyen menghormati garis panduan media sedia ada dan tidak menayangkan kandungan yang tidak menunjukkan ‘gambaran sebenar masyarakat Pakistan’.

“Corak menayangkan tema agak berani dalam industri drama Pakistan menyebabkan ramai penduduk awam membuat aduan.

“Adegan tidak senonoh, dialog, hubungan sulit, keganasan, pemakaian tidak sesuai, adegan rogol, berpeluk, adegan atas katil, penggunaan dadah dan alkohol, saat intim antara pasangan ditonjolkan berlebihan dan mengabaikan budaya dan nilai Pakistan,” kata PEMRA dalam kenyataan berbahasa Inggeris.

Drama dan drama bersiri Pakistan, kebanyakannya mahu mencabar pantang larang di negara berkenaan, amat popular, menurut data PEMRA dan Gallup Pakistan.

Ia berkisarkan plot yang menggambarkan isu sosial seperti keganasan rumah tangga, penderaan anak dan prejudis terhadap wanita.

Aktivis sebelum ini memuji ia sebagai alat paling berpengaruh untuk perubahan akar umbi.

Tahun lalu, drama bersiri menonjolkan kehidupan bintang media sosial, Qandeel Baloch, yang terkenal dengan swafoto provokatif sehingga pembunuhan mengejutnya oleh abangnya pada 2016, berada di tangga tertinggi carta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 8:42 PM