PETUGAS di Masjidil Haram membersihkan ribuan serangga dipercayai cengkerik yang ‘menyerang’ jemaah di Kota Makkah. FOTO Agensi
Agensi

MAKKAH: Ribuan serangga dipercayai sejenis cengkerik `menyerang’ Masjidil Haram sejak beberapa hari lalu hingga mengganggu jemaah yang mengerjakan umrah dan beribadat di kota suci itu.

Beberapa gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan serangga berkenaan menghurung kawasan masjid dan badan jemaah yang sedang bersolat.

Menurut media Arab Saudi, keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa Makkah melancarkan operasi pembersihan untuk membunuh serangga berkenaan.

Pihak berkuasa dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya melantik satu pasukan pembersihan khas untuk menangani masalah berkenaan.

“Kami mengambil semua langkah yang ada untuk mempercepatkan proses membasmi serangan itu bagi keselamatan dan keselesaan tetamu Allah,” katanya.

Pihak berkuasa itu turut menyiarkan gambar dan video pekerja menyerbu racun serangga di sistem kumbahan serta longkang di sekeliling Masjidil Haram.

Masjidil Haram adalah lokasi utama bagi jutaan penganut agama di seluruh dunia bagi mengerjakan ibadah haji dan umrah.

Kejadian itu bukanlah sesuatu yang baru dan Arab Saudi sebelum ini sering berdepan dengan masalah serangan serangga termasuk belalang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 8:25 PM