POLIS sempadan Myanmar mengawal pos kawalan di Buthidaung, Rakhine. - AFP
Reuters

NAYPYITAW: Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi mengadakan mesyuarat dengan ketua tenteranya bagi membincangkan serangan terhadap polis negara itu yang didakwa dilaksanakan pemberontak di Rakhine dalam usaha ‘menghapuskan’ golongan itu, kata jurucakap kerajaan.

Zaw Htay berkata, Suu Kyi, Presiden Win Myint dan anggota Kabinet lain menemui pegawai tentera kanan termasuk ketua tentera, Min Aung Hlaing, timbalannya serta ketua risikan untuk ‘membincangkan hal ehwal luar dan keselamatan kebangsaan.’

“Pejabat presiden mengarahkan tentera melancarkan operasi untuk membanteras pengganas berkenaan,” katanya pada satu sidang media.

Pertempuran antara tentera kerajaan dan Tentera Arakan di Rakhine - yang mendesak pentadbiran berautonomi di negeri itu - mengakibatkan ribuan orang hilang tempat tinggal sejak Disember lalu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Media kebangsaan melaporkan 13 anggota polis maut manakala sembilan cedera dalam serangan di empat pos kawalan pada Hari Kemerdekaan Myanmar, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, jurucakap Tentera Arakan yang berada di luar Myanmar memberitahu Reuters minggu lalu, serangan berkenaan bagi membalas serangan meluas tentera yang turut menyasarkan orang awam.

Sebelum ini, pada 2017, tentera melancarkan serangan besar-besaran di Rakhine terhadap kumpulan penentang Muslim Rohingya yang mengakibatkan ratusan ribu golongan itu melarikan diri ke Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 12:25 PM