PETIKAN video polis menyerbu dan mengheret keluar jemaah dari masjid etnik Hui di Yunnan, China, Sabtu lalu. - YouTube/Twitter
Agensi

BEIJING: Kekangan beragama dan penganiayaan terhadap umat Islam di China berterusan apabila pihak berkuasa menutup tiga masjid ‘haram’ milik etnik Hui di wilayah Yunnan dalam operasi ‘agama tidak sah.’

Pegawai di Biro Keselamatan Awam Daerah Weishan dan Balai Polis Weishan Yongjian, enggan mengulas mengenai kemungkinan umat Islam ditahan atau masjid terbabit dimasukkan dalam senarai untuk dirobohkan.

Menurut laporan South China Morning Post, dalam kenyataan disiarkan melalui Weibo Sabtu lalu, pihak berkuasa menyatakan masjid berkenaan dibina tanpa kebenaran dan melakukan ‘pendidikan agama secara haram’ bertentangan dengan garis panduan negara.

Penutupan masjid di Weishan itu berikutan operasi keras dan penganiayaan terhadap umat Islam membabitkan penutupan masjid serta sekolah Arab di Ningxia dan Gansu yang kedua-duanya membabitkan umat Islam etnik Hui di utara China.

Operasi polis di perkampungan Huihuideng, Sanjia dan Mamichang itu atas arahan Jawatankuasa Hal Ehwal Etnik dan Agama, Daerah Weishan bagi mengekalkan keharmonian dan kestabilan.

China menolak kritikan masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai layanan terhadap penduduk Islam.

Menurut satu sumber di Yunnan, permohonan mendaftarkan masjid terbabit ditolak pihak berkuasa tempatan beberapa kali sejak sedekad lalu.

Rakaman video serbuan polis itu muncul di Twitter oleh pertubuhan bukan kerajaan, Catatan Penganiayaan Terhadap Umat Islam, menunjukkan puluhan polis berbalah dengan umat Islam Hui dan mengheret mereka keluar dari masjid.

Anggota polis dilihat menolak mereka yang membantah, malah ada yang menyerang orang ramai.

“Lima atau enam polis menekan saya ke lantai sebelum dibelasah sehingga pengsan,” kata jemaah wanita melalui WeChat yang disiarkan di Twitter.

Menurutnya, jika tidak diselamatkan ibunya, dia sudah dibawa ke balai polis.

“Mereka menahan ibu saya dan saya bimbang dia dipukul di sana (balai polis),” katanya.

Gambar di Twitter menunjukkan pintu masjid terbabit dikunci dengan rantai dengan papan tanda bertulis “Jawatankuasa Hal Ehwal Etnik dan Agama, Daerah Weishan Yi dan Hui.”

Pihak berkuasa wilayah Yunnan yang bersempadan dengan Laos dan Myanmar sebelum ini mengamalkan tolak ansur terhadap penduduk minoriti pelbagai etnik dan agama.

03hmyn2

Petikan video polis menyerbu dan mengheret keluar jemaah dari masjid etnik Hui di Yunnnan, China, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 6:45 AM