PESAWAT Boeing 737-800 milik Lion Air di Lapangan Terbang Mutiara Sis Al Jufri di Palu. FOTO/AFP
AFP

CHICAGO: Satu tuntutan saman yang difailkan di sini menyalahkan Boeing terhadap nahas pesawat Lion Air di luar pantai Indonesia yang mengorbankan kesemua penumpang di dalamnya, mendakwa pesawat pengeluar itu ‘berbahaya secara tidak munasabah’, umum sebuah firma perundangan Amerika Syarikat (AS) semalam.

Tuntutan itu, difailkan Isnin lalu di bandar Barat Tengah AS di sini yang menjadi pangkalan Boeing, mendakwa, sistem keselamatan pesawat berusia dua bulan itu dipasang secara tidak wajar dan juruterbang tidak diarahkan secukupnya oleh pengeluar pesawat bagaimana memberi tindak balas.

Penerbangan 610 Lion Air hilang dari radar 13 minit sejurus berlepas dari Jakarta pada 29 Oktober lalu, menjunam ke Laut Jawa di pantai utara Indonesia serta mengorbankan kesemua 189 penumpang di dalamnya.

Kira-kira 30 saudara mara mangsa nahas memfailkan tuntutan saman ke atas Boeing, mendakwa kesilapan model baharu 737 MAX menjadi punca kematian.

Tuntutan saman di sini difailkan bagi pihak keluarga penumpang Sudibyo Onggo Wardoyo, 40, dari Jakarta, Indonesia.

“Bukan sahaja Boeing meletakkan pengesan yang menyediakan data tidak tepat, ia juga gagal menyediakan arahan mencukupi kepada juruterbang pesawat.

“Ia seperti Boeing menutup mata dan kemudian mengikat tangan juruterbang untuk kali pertama,” kata peguam keluarga itu, Thomas Demetrio dalam satu kenyataan.

Laporan awal nahas daripada agensi keselamatan pengangkutan mengatakan, juruterbang bergelut mengawal sistem anti-pegun pesawat sebelum nahas.

Boeing membalas laporan November lalu dengan menuding tindakan juruterbang dan mendakwa satu penerbangan awal pesawat sama berakhir dengan selamat apabila juruterbang berjaya menangani kesilapan pengesan data.

“Pesawat 737 MAX selamat seperti mana pesawat lain yang terbang di udara. Boeing mengambil setiap langkah untuk memahami sepenuhnya semua aspek nahas ini,” kata pengeluar dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 4:00 PM