Booba (kiri) dan Kaaris menerima hukuman penjara selama 18 bulan kerana bergaduh. FOTO AFP
AFP

PARIS: Dua penyanyi rap Perancis yang bermusuh mencetus reaksi lucu di media sosial selepas berikrar menyelesaikan pertikaian dengan bertarung di gelanggang.

Pergaduhan membabitkan penyokong Booba dan Kaaris di lapangan terbang Paris, Ogos lalu menyebabkan mereka dijatuhi hukuman penjara.

Namun, hukuman penjara tertunda 18 bulan dan denda itu nampaknya masih tidak berupaya meredakan persengketaan dua artis popular Perancis terbabit.

Kaaris dan Booba masih berbalas mesej ugutan dan cercaan di media sosial akhirnya nekad mengakhiri perang mulut mereka dengan mengadakan pertarungan bebas dalam sangkar besi pada Tahun Baru ini.

Difahamkan Kaaris, 38 mencabar Booba untuk bertarung dengannya tanpa pengadil.

“Kalau kau anak jantan, datanglah. Kau tahu mana nak cari aku,” cabar Kaaris.

Booba yang dikenali sebagai ‘Duke of Boulogne’ dengan pantas menerima cabaran itu.

“Aku menunggu detik dan saat itu sahabat. Tiada pengadil, tiada undang-undang, hanya kita dan sangkar besi,” katanya.

Kedua-dua penyanyi rap itu ditahan polis selepas terbabit dalam pergaduhan di kedai bebas cukai di lapangan terbang Paris.

Pendakwa berkata, Booba, 42, menendang Kaaris selepas musuh ketatnya bertindak kasar sebelum pengikut kedua-dua penyanyi mula merusuh.

Kedua-duanya didenda dan dijatuhi hukuman penjara tertunda 18 bulan pada Oktober lalu. Kaaris sedang merayu kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 3:15 PM