AFP

GARA-GARA meminta habuan seks dari penuntut wanita yang terdesak mendapatkan markah tinggi, pensyarah universiti di Lagos, Nigeria bakal berdepan hukuman penjara kerana kelakuan tidak senonohnya itu.

Hakim Maurine Onyetenu dari Mahkamah Tinggi Persekutuan di Osogbo, semalam mendapati Richard Akindele, iaitu profesor di Universiti Obafemi Awolowo di Ile-Ife didapati melakukan kesalahan rasuah dan gangguan seksual.

Namun, peguamnya meminta supaya Akindele dibenarkan membuat rayuan di atas pertuduhan pada 19 November lalu, bagaimanapun ditolak hakim.

“Isu seperti ini terlalu berleluasa di institusi pengajian tinggi bila mana anak-anak yang dihantar ke universiti dan pulang ke rumah memberitahu kami bahawa pensyarah mahu melakukan seks dengan mereka.

“Inilah masanya untuk mahkamah mula menegakkan hak keadilan kepada kanak-kanak, terutamanya pelajar perempuan,” kata Hakim Onyetenu.

Dalam kes ini, Akindele didapati bersalah atas semua empat pertuduhan dan dia dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun.

Dia ditangkap dan dipecat dari jawatannya pada Jun lalu. -AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 1:02 AM