GADING gajah yang dirampas. FOTO AFP
AFP

PHNOM PENH: Pihak berkuasa Kemboja merampas lebih 3.2 tan gading gajah yang disembunyikan di dalam kontena yang dihantar dari Mozambique, sekali gus menjadikan ia jumlah rampasan terbesar yang dicatatkan negara itu.

Pengarah Pejabat Kastam dan Eksais, Sun Chhay berkata, kesemua 1,026 gading itu ditemui dalam pemeriksaan oleh kakitangan Pelabuhan Autonomi Phnom Penh hasil maklumat Kedutaan Amerika Syarikat.

Katanya, penemuan itu turut mendedahkan kedudukan Kemboja sebagai pusat transit utama penyeludupan haram haiwan liar dan dilindungi serantau, iaitu industri yang membabitkan dagangan bernilai berbilion dolar.

“Gading gajah itu disembunyi di antara marmar yang disimpan di dalam kontena yang terbiar di pelabuhan itu,” kata Sun Chhay kepada AFP.

Beliau berkata, gading yang dihantar dari Mozambique itu, tiba di pelabuhan berkenaan tahun lalu, namun pemilik yang tidak dikenali yang sepatutnya menerima kiriman berkenaan, tidak mengambil kargo terbabit.

Sun Chhay berkata, beliau tidak mengetahui sama ada kargo itu bertujuan memenuhi permintaan pasaran dari negara lain.

Ketika ini, wujud permintaan yang tinggi terhadap pelbagai hidupan liar dari China dan Vietnam yang dibawa masuk menerusi Kemboja.

Gading gajah sering menjadi tumpuan penyeludup kerana kecantikannya, manakala tanduk badak sumbu dan tenggiling mendapat permintaan tinggi dalam pasaran gelap bagi tujuan perubatan tradisional.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 8:28 PM