KAD kuasa yang dikeluarkan Stasi untuk Putin. - Ihsan Bild
Agensi

Berlin: Vladimir Putin adalah ejen KGB yang bekerjasama dengan polis sulit Jerman Timur, Stasi sebelum beliau menyertai politik sehingga menjadi Presiden Russia.

Media Eropah semalam, menyiarkan gambar kad kuasa yang dikeluarkan Stasi 30 tahun lalu, untuk Putin yang ditemui dalam timbunan fail di pejabat polis rahsia itu di Dresden, Jerman.

Kad berkenaan dikeluarkan pada 1986 untuk Putin yang ketika itu berusia 33 tahun, sebagai pegawai pangkat pertengahan KGB yang ditempatkan di Dresden, ditemui ahli sejarah Amerika Syarikat, Douglas Selvage, selepas penyatuan Jerman Timur dan Jerman Barat pada 1990.

Menurut akhbar Bild, kad itu membuktikan presiden Russia paling lama itu berkhidmat untuk Stasi, pasukan polis sulit Jerman Timur yang dibenci.

Kad itu membolehkan Putin bebas keluar masuk pejabat Stasi tanpa perlu memberitahu beliau bekerja dengan KGB.

Dalam gambar disiarkan Bild, kad berkenaan dikeluarkan untuk Mejar Vladimir Putin yang disahkan dengan cop setiap suku tahun sehingga hujung 1989.

Putin adalah pegawai perisikan asing KGB selama 16 tahun, sebelum meletak jawatan dengan pangkat Leftenan Kolonel pada 1991 dan menjadi ketua FSB (agensi pengganti KGB) sebelum menjadi Presiden Russia pada 2000.

PUTIN bersama bekas isteri, Lyudmila Putina dan anak mereka ketika berkhidmat di Dresden. - Fail (Agensi)

Beliau tinggal selama lima tahun di Dresden bersama bekas isterinya Lyudmila Putina. Anak kedua mereka dilahirkan di sana.

Menjelaskan perkara itu, jurucakap Putin, Dmitry Peskov berkata: “Tekaan saya ketika era Soviet Union, KGB dan Stasi bekerjasama menyebabkan tidak mustahil kedua-dua agensi bertukar-tukar dokumen pengenalan diri.”

Stasi atau Perkhidmatan Keselamatan Negara Jerman Timur adalah agensi perisikan paling hebat pernah wujud.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 11:47 AM