Dua eksekutif perkapalan Vietnam ditahan kerana terbabit dalam menggelapkan wang. Youtube/Nguoi Viet Daily News
AFP

HANOI: Dua eksekutif syarikat perkapalan milik kerajaan yang hampir muflis ditahan di Vietnam, atas tuduhan menggelapkan wang sebanyak AS$4.5 juta (RM18.76 juta), hasil pakatan dengan sebuah bank yang berdepan dengan masalah skandal.

Penahanan itu dilakukan ketika kerajaan sedang mempertingkatkan usaha untuk menangani masalah rasuah di negara itu.

Kedua-dua suspek adalah antara bekas pegawai yang terbabit dalam kes rasuah dan mempunyai kaitan dengan beberapa firma milik kerajaan serta bank yang didakwa berdepan masalah tadbir urus dan sogokan.

Puluhan pegawai bank, ahli perniagaan dan bekas pegawai kerajaan sudah dipenjarakan susulan kempen anti rasuah yang dilaksanakan oleh kerajaan konservatif, sejak ia mengambil alih kerajaan pada 2016.

“Bekas pengarah Vinashin, Truong Van Tuyen dan timbalan pengarah Vinashin, Pham Thanh Son iaitu syarikat yang diselamatkan kerajaan selepas berdepan dengan beban hutang tinggi pada 2010 ditahan, semalam.

“Mereka disiasat atas tuduhan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan untuk memiliki aset,” kata Kementerian Keselamatan Awam dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, kedua-duanya dituduh meluluskan beberapa deposit wang secara tidak sah ke dalam akaun di Ocean Bank iaitu bank swasta yang sebelum ini pernah terpalit dengan skandal rasuah yang membabitkan puluhan suspek.

Tuyen dan Son didakwa memperoleh sebanyak AS$4.5 juta (RM18.76 juta) bersama-sama dengan bekas ketua akauntan Vinashin yang sudah dipenjarakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 7:28 PM