Macron umum langkah kewangan baru. FOTO AFP
AFP

PARIS: Presiden Emmanuel Macron mengumumkan siri langkah kewangan baru untuk menamatkan pemberontakan ‘ves kuning’ yang mencetuskan bantahan ganas di beberapa bandar di Perancis.

Dalam ucapan di televisyen selama 15 minit dari Istana Elysee, beliau memberitahu rakyat: ‘Saya berkongsi tanggungjawab’ bagi krisis berkenaan.

Bekas ahli perbankan itu berucap dengan nada lebih lembut berbanding biasa apabila menangani kritikan terhadap gaya kepemimpinannya.

“Saya tahu saya menyinggung sebahagian daripada anda dengan kenyataan itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bantahan oleh golongan berpendapatan rendah di bandar kecil atau pedalaman Perancis adalah hasil masalah jangka panjang.

“Tekanan dialami mereka bukan bermula semalam. Akhirnya kita menerima keadaan itu.

“Ketegangan selama 40 tahun kini muncul,” katanya.

Antara langkah diumumkan Macron adalah kenaikan gaji minimum sebanyak 100 euro (RM472) sebulan bermula tahun depan.

Gaji minimum ditetapkan pada paras 1,498 euro (RM7,119) sebulan sebelum cukai pada 2018 dan 1,185 euro (RM5,631) selepas cukai.

Kerajaan Macron sebelum ini menyatakan sebarang kenaikan gaji minimum akan memusnahkan pekerjaan berbanding membantu mencipta peluang.

Bantahan menyaksikan rusuhan di Paris dan bandar raya negara itu menyebabkan kerugian besar adalah cabaran terbesar dihadapi Macron sejak memegang jawatan pada Mei 2017 dengan janji memulihkan ekonomi.

Sejak itu, popularitinya merudum dengan pengkritik berkata beliau memihak golongan kaya dan meminggirkan penduduk miskin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 4:59 PM