Mendaki piramid kesalahan di Mesir. FOTO AFP
Agensi

KAHERAH: Pihak berkuasa Mesir menyiasat pasangan Denmark selepas penularan video dan gambar menunjukkan mereka mendaki Piramid Giza dan berbogel di kemuncaknya.

Video tiga minit itu yang dirakamkan pada waktu malam, mencetuskan kemarahan dan kontroversi dalam kalangan rakyat tempatan di media sosial, menunjukkan apa yang didaki oleh lelaki dan wanita itu adalah Piramid Giza dengan langit Kaherah pada latar belakang, lapor CNN.

Sebaik tiba di kemuncak, video menunjukkan wanita itu menanggalkan baju dan berakhir dengan gambar mereka berpeluk dalam keadaan bogel.

Menteri Antikuiti, Khaled al-Anani, merujuk kes itu kepada pendakwa raya untuk siasatan.

“Berkaitan apa yang disebarkan dan disiarkan petang semalam dalam video pendek memaparkan dua warga asing mendaki piramid pada waktu malam, dan menyiarkan gambar mereka yang melanggar moral sosial, dan bagi mencari kebenaran dan mengambil tindakan perlu, Menteri Antikuiti, Khaled al-Anani, memutuskan untuk merujuk kes itu kepada Peguam Negara untuk menyiasat,” kata Kementerian Antikuiti Mesir dalam kenyataan.

Menurut laman berita Ahram Online, video itu dimuat naik di YouTube Rabu lalu oleh jurugambar Denmark, Andreas Hvid, yang menyiarkan sudut berbeza lokasi tinggi di seluruh dunia, kadang-kadang menampilkan gambar bogel, di media sosial.

Mendaki piramid adalah kesalahan di Mesir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 4:44 PM