RICKY Ian Swan didakwa selepas menyeksa dan membunuh dua ekor kangaro. FOTO Agensi

MELBOURNE : Seorang lelaki berusia 28 tahun akan menghabiskan masa selama lima bulan di dalam penjara selepas didapati bersalah membunuh dengan kejam seekor kangaru dan merakam perbuatan itu sebelum menyiarkan ia di media sosial.

Menurut laporan ABC News, Ricky Ian Swan ialah seorang daripada empat lelaki yang didakwa September lalu menyeksa dan membunuh dua ekor kangaru.

Swan mengejar seekor haiwan berkenaan dan menikamnya lebih daripada 20 kali sebelum menyepak kangaru yang hampir mati itu di bahagian kepala.

“Anda menyerang haiwan ini secara ganas dan kejam,”ABC memetik Majistret Deen Potter sebagai berkata.

Potter juga berkata, tindakan Swan menyamai kekejaman terhadap haiwan dan ia termasuk perlakuan menyeksa, memotong dan cuba mendatangkan kecederaan.

“Saya tak tahu apa yang merasuk saya,” ABC memetik kenyataan Swan.

“Ia sungguh menjijikkan. Individu dalam video itu bukan saya,” katanya.

Awal minggu ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada seorang lagi tertuduh, pemuda berusia 26 tahun dari Perth atas siri kekejaman terhadap haiwan.

Menurut statistik kerajaan, terdapat 45 juta kangaru di Australia dan jumlah itu meningkat dengan pantas, hampir dua kali ganda lebih tinggi dari populasi manusia iaitu 25 juta orang.

Kebajikan haiwan termaktub dalam undang-undang peringkat negeri dan persekutuan di Australia. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 12:21 PM