ORANG ramai berjalan di perkarangan Menara Eiffel pada 2 November 2018. FOTO AFP
AFP

Menara Eiffel, muzium Louvre dan deretan kedai di Champs-Elysees di Paris, Perancis bakal ditutup hujung minggu ini, selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran, Khamis lalu, berhubung insiden keganasan yang bakal tercetus, iaitu yang terbesar sepanjang pentadbiran Presiden Emmanuel Macron.

Kerajaan Perancis sedang bertungkus-lumus untuk menangani insiden keganasan yang bakal menyaksikan puluhan kereta dibakar, selain anggota polis bertarung di jalanan bagi mengawal penunjuk perasaan yang memakai rompi kuning.

Demonstrasi berlaku bagi membantah kenaikan kos sara hidup yang didakwa akibat kadar cukai yang tinggi.

Pegawai Kementerian Dalam Negeri memaklumkan AFP bahawa pihak berkuasa menjangkakan insiden keganasan berlaku esok, berdasarkan petunjuk yang diberikan kedua-dua penyokong pembangkang dan pro kerajaan, mengenai rancangan mereka untuk berkumpul di Paris.

Berikutan itu, pihak berkuasa bimbang akan kehadiran penyokong terbabit bakal disertai kumpulan samseng yang bertujuan mencetuskan rusuhan dan rompakan, seperti yang berlaku minggu lalu.

Perdana Menteri, Edouard Philippe, berkata 8,000 anggota polis beserta kenderaan perisai akan dikerah bagi mengawal Paris.

Malah, dalam temubual di stesen televisyen, beliau merayu supaya semua pihak bertenang dan menyatakan bahawa kerajaan bersedia mengambil segala langkah perlu untuk meningkatkan kuasa berbelanja negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 11:45 PM