SUKARELAWAN Nepal dan murid sekolah mengikat beg plastik terpakai untuk membuat peta Laut Mati dalam cubaan mencipta rekod dunia di Kathmandu hari ini. FOTO/AFP
AFP

KATHMANDU: Golongan muda Nepal menghasilkan peta Laut Mati menggunakan beg plastik terpakai hari ini dalam cubaan mencipta rekod antarabangsa baharu dan meningkatkan kesedaran terhadap penggunaan material yang mencemarkan lautan dunia.

Sukarelawan mengikat 100,000 beg plastik terpakai berwarna-warni pada batang besi sepanjang 20 meter dan setinggi lima meter, berbentuk seperti Laut Mati, di kawasan terbuka pusat bandar ini.

Cubaan mencipta rekod itu dianjurkan dengan slogan ‘Satu Laut Mati sudah cukup buat kami.’

“Kami memutuskan mengikat beg plastik dan membuat arca Laut Mati untuk menyebarkan kesedaran di dunia supaya meminimumkan sisa plastik,” kata Surgeon BC daripada Stem Foundation Nepal, kumpulan yang menganjurkan acara itu kepada AFP.

Pengeluaran plastik global meningkat pantas dan ketika ini lebih 400 juta tan setahun.

Dianggarkan dua hingga lima peratus plastik dibuang ke dalam laut, di mana kebanyakannya berpecah kepada partikel halus yang menjejaskan hidupan marin.

Lebih 150 sukarelawan bekerja selama beberapa bulan mengutip dan mengasingkan beg plastik terpakai dari sekolah dan kawasan umum.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 1:29 PM