ZUCKERBERG menolak dakwaan Facebook menjual data peribadi kepada syarikat Netflix. FOTO/AGENSO
AFP

LONDON: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook, Mark Zuckerberg menolak dakwaan syarikat media sosial terbesar itu menjual data peribadi kepada syarikat Netflix dan beberapa pengendali aplikasi popular, walaupun selepas syarikat itu mengetatkan peraturan privasi.

Zuckerberg turut mengemukakan satu pertukaran e-mel dari 2012 yang mana beliau berkira-kira untuk menjual maklumat kepada beberapa pemaju.

Beberapa e-mel itu turut dikemukakan dalam tindakan undang-undang terhadap Facebook di mahkamah California oleh syarikat pemaju aplikasi Six4Three Amerika Syarikat (AS) yang kini tidak wujud lagi.

Maklumat itu dirahsiakan hakim mahkamah terbabit tetapi disita jawatankuasa Britain di bawah peraturan penguatkuasaan parlimen yang tidak pernah digunakan bulan lalu.

Sebuah jawatankuasa parlimen British sedang menyiasat sama ada syarikat media sosial itu sedang digunakan untuk memanipulasi keputusan pilihan raya, dalam dokumen laporan dalaman Facebook, setebal 250 muka surat, Rabu lalu.

Mereka mendapati beberapa pengurusan eksekutif syarikat besar seperti Netflix diberi kebenaran untuk mengakses data pengguna walaupun selepas Facebook memperketatkan peraturan privasi antara 2014-2015.

Sehubungan itu, pengasas Facebook itu berkata, beliau menulis kerana tidak mahu semua e-mel itu dianggap ‘menyalahi tindakan atau matlamat’ syarikatnya.

“Seperti mana-mana organisasi, kami melakukan banyak perbincangan dalaman dan semua orang mengemukakan idea berbeza,” kata Zuckerberg menerusi mesej yang dimuat naik di laman Facebook.

Bagaimanapun, beliau tidak secara langsung menyentuh keputusan Facebook yang kelihatan seperti mahu menyerahkan kepada beberapa pengendali aplikasi popular kebenaran khusus mendapatkan senarai data dan beberapa maklumat peribadi yang mahu dirahsiakan orang ramai.

“Pada dasarnya, kami bercadang untuk memperkenalkan model yang membolehkan pemaju mendapatkan platform secara percuma dan mereka juga boleh memilih untuk membeli iklan jika mereka mahu,” tulis Zuckerberg.

Katanya, secara jelas tindakan itu adalah berbeza dengan menjual data orang ramai, malah menegaskan syarikatnya tidak pernah menjual data kepada sesiapa pun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 12:24 PM