BRIGED Polis Bergerak Indonesia menuju ke Nduga, di mana lebih 24 pekerja binaan dipercayai ditembak mati pemberontak pemisah Papua. FOTO/AFP
TENTERA Indonesia menyiapkan keranda untuk pekerja binaan yang ditembak mati di Wamena, dalam wilayah Papua. FOTO/AFP
AFP

WAMENA: Seorang askar Indonesia dibunuh ketika menyiasat laporan lebih 24 pekerja binaan ditembak mati pemberontak pemisah di wilayah bergolak Papua, kata pihak berkuasa hari ini.

Jika pembunuhan itu disahkan, ia dianggap keganasan terburuk sejak beberapa tahun lalu di rantau itu yang menyaksikan pemberontakan kemerdekaan tahap rendah selama berdekad.

Memetik seorang pegawai polis tempatan, media Indonesia melaporkan lewat semalam, pekerja terbabit ditembak mati Ahad lalu di Nduga, daerah di tengah rantau barat separuh kepulauan New Guinea, di utara Australia.

Pasukan polis dan tentera dihantar ke kawasan itu semalam apabila mereka diserang tembakan senjata pemberontak dengan seorang askar maut manakala seorang lagi cedera, kata pihak berkuasa.

Kakitangan syarikat kontraktor Istaka Karya milik kerajaan itu membina jambatan dan jalan raya sebagai sebahagian usaha meningkatkan infrastruktur di rantau miskin itu, kata Menteri Kerja Awam Indonesia, Budi Hadimuljono hari ini.

Katanya, semua kerja di kawasan itu dihentikan sementara siasatan dijalankan.

“Kami semua terkejut dan sedih mendengar laporan media itu. Semua kerja akan ditangguhkan di kawasan itu berikutan insiden ini,” kata Budi kepada media di Jakarta.

Lebih 12 keranda disediakan di sini, bandar utama terhampir di mana pembunuhan didakwa berlaku.

“Sesetengah media mengatakan 31 pekerja maut, ada 24 orang, justeru kami perlu memeriksa sendiri,” kata jurucakap tentera Papua, Muhammad Aidi.

Pembunuhan itu didakwa dilakukan pemberontak yang berjuang menentang pemerintahan Jakarta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 5:13 PM