LORYMAN boleh dihukum penjara 15 tahun jika didapati bersalah. FOTO/AGENSI
Agensi

PHNOM PENH: Seorang rakyat Britain didakwa mahkamah di sini kerana melakukan hubungan seks dengan empat budak lelaki tempatan.

Tertuduh dikenali sebagai Stephen John Loryman, 57, mengajar bahasa Inggeris di sebuah sekolah swasta dan tinggal di sebuah kediaman yang disewa. Dia ditahan pada 25 November lalu dan dituduh membuat pembayaran untuk pelacur kanak-kanak dan boleh dihukum penjara 15 tahun jika didapati bersalah, lapor portal berita Kemboja.

Seorang pegawai penguat kuasa anti-pemerdagangan manusia dan perlindungan juvana berkata, tertuduh masuk ke Kemboja sebagai pelancong tahun lalu dan mengajar bahasa Inggeris.

Loryman didakwa selalu mengajak budak lelaki daripada keluarga miskin pulang ke kediaman sewanya dengan menawarkan makanan, wang dan pakaian kepada mereka.

Pada 11 November lalu, anggota penguat kuasa melihat tertuduh membawa lima budak lelaki menaiki tuk-tuk sebelum makan bersama-sama di sebuah pasar dan kemudian bersiar-siar di sekitarnya. Sejak itu, pihak berkuasa mula memantau pergerakan tertuduh.

Pada 25 November, tertuduh membawa empat budak lelaki tempatan ke kediamannya. Penyiasat berkata, anggota polis melakukan serbuan dan menahannya ketika sedang melakukan hubungan seks dengan seorang daripada budak lelaki terbabit.

“Dia seorang pedofil warga asing yang cenderung melakukan seks dengan budak lelaki tempatan. Dia melakukan seks dengan salah seorang budak lelaki itu di kediamannya,” kata pegawai penguat kuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 4:18 PM