PEKERJA membersihkan cat yang disembur di tugu peringatan Arc de Triomphe. - Daily Mail
Agensi

PARIS: Presiden Perancis Emmanuel Macron meminta perdana menterinya menemui pemimpin parti politik dan wakil kumpulan pembantah yang menggelar diri mereka ‘rompi kuning’ dalam usaha meredakan ketegangan yang melihat rusuhan melanda ibu negara pada hujung minggu lalu.

AFP melaporkan, Perdana Menteri Edouard Philippe diminta menemui penganjur protes dan pemimpin parti pembangkang, susulan mesyuarat krisis dipengerusikan Macron, kelmarin.

Menteri Alam Sekitar Francois de Rugy menemui wakil kumpulan rompi kuning terbabit, minggu lalu, namun gagal meyakinkan mereka supaya menamatkan demonstrasi yang berterusan sejak dua minggu lalu.

Kerajaan juga tidak menolak kemungkinan mengumumkan darurat untuk menangani protes berkenaan.

Semalam, puluhan penunjuk perasaan menghalang akses ke depot minyak utama dan beberapa lebuh raya pada minggu ketiga protes antikerajaan.

Kira-kira 50 orang menghalang depot di pelabuhan Fos-sur-Mer berhampiran Marseille, yang banyak melihat protes kecil-kecilan membantah kenaikan kos hidup sejak 17 November lalu.

Lalu lintas turut terganggu di lebuh raya menuju ke bandar di selatan Perancis. Ratusan sekolah juga terjejas selepas remaja menyertai demonstrasi membantah syarat baru kemasukan ke universiti.

Kira-kira 36,000 orang mengambil bahagian dalam protes di seluruh negara pada Sabtu lalu. Walaupun jumlahnya kurang berbanding sepanjang dua minggu sebelumnya, penunjuk perasaan bertempur dengan polis dan merusuh dengan membakar kereta dan menghalang jalan raya.

Protes yang bermula dengan rasa tak puas hati terhadap kenaikan harga bahan bakar dan cukai kini lebih meluas sebagai bantahan terhadap Macron sendiri, kerajaannya, serta ketegangan antara golongan elit metropolitan dengan miskin luar bandar.

Sementara itu, jurucakap parti En Marche pimpinan Macron, Benjamin Griveaux memberitahu stesen radio Europe 1, kelmarin, bahawa 1,000 hingga 1,500 orang yang menyertai bantahan Sabtu lalu hanya melakukannya untuk bertempur dengan polis serta menjarah, dan tiada kaitan dengan penunjuk perasaan asal.

‘Rompi kuning’ merujuk kepada ves yang diwajibkan disimpan dalam kereta setiap pemandu sebagai langkah keselamatan sekiranya kenderaan mereka rosak.

Macron melawat kawasan Arc de Triomphe - tugu peringatan tentera yang disembur cat oleh perusuh - dan melihat kerosakan akibat rusuhan Sabtu lalu. Dia turut memuji polis yang bertugas dalam pada segelintir orang yang berada disitu mengebunya.

Polis Paris berkata, 412 orang ditahan pada Sabtu lalu, susulan rusuhan terburuk di ibu negara itu sejak berdekad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 6:16 AM