ANTARA kenderaan yang dirosakkan penunjuk perasaan. -Foto Reuters
AFP

PARIS: Seorang maut tengah malam semalam dalam nahas berkaitan bantahan antikerajaan ‘ves kuning’ di selatan Perancis, kata pendakwa semalam.

Kejadian berlaku di Arles selepas sebuah van bertembung dengan trak berat sebelum dilanggar kenderaan lain, kata pendakwa raya Tarascon, Patrick

Desjardins, menambah kemalangan ada kaitan dengan sekatan jalan raya yang dibuat penunjuk perasaan, menyebabkan kesesakan sepanjang 10 kilometer.

Sementara itu, Perancis mempertimbangkan melaksanakan perintah darurat bagi menghalang ketegangan yang dianggap antara terburuk dalam masa lebih sedekad berulang dan menggesa penunjuk perasaan secara aman berunding, kata jurucakap kerajaan, Benjamin Griveaux.

Sekumpulan belia bertopeng, sebahagiannya membawa batang besi dan kapak, merusuh di jalan raya di tengah Paris kelmarin, membakar kenderaan dan bangunan.

“Kami perlu fikirkan langkah yang boleh diambil supaya kejadian seperti ini tidak berulang,” kata Griveaux kepada radio Europe 1.

Presiden Perancis Emmanuel Macron meninjau kerosakan yang berlaku selepas tunjuk perasaan di seluruh Paris dan mengetuai mesyuarat yang berakhir dengan keputusan untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan aktivis antikerajaan yang menganjurkan bantahan itu.

Macron mengadakan pertemuan dengan perdana menteri, menteri dalam negeri dan pegawai keselamatan untuk mendapatkan maklumat berhubung keganasan yang menyebabkan ratusan orang cedera.

Bantahan bermula 17 November lalu dan merebak pantas menerusi media sosial, dengan penunjuk perasaan menghalang jalan raya seluruh Perancis dan menyekat akses ke pusat beli belah, kilang dan beberapa depo bahan api.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 2:43 PM