Penunjuk perasaan menterbalikkan kereta dalam rusuhan di Paris. FOTO AFP
Reuters

PARIS: Sekumpulan belia bertopeng dan sebahagiannya membawa batang besi dan kapak, merusuh di jalan raya di tengah ibu kota Perancis semalam, membakar berpuluh-puluh kereta dan bangunan dalam tunjuk ketegangan paling buruk di bandar raya itu dalam masa beberapa tahun.

Polis berkata, mereka menahan lebih 200 manakala hampir 100 lagi cedera apabila perusuh membaling benda ke arah polis pencegah rusuhan, membakar kereta dan memecahkan bahagian depan kedai.

Berhampiran hotel Ritz, tidak jauh dari butik dan restoran ternama, dan di lokasi Arc de Triomphe, yang menempatkan beberapa kedutaan asing, kumpulan penunjuk perasaan ganas merusuh, membakar van polis dan menterbalikkan kereta. Sekurang-kurangnya dua bangunan terbakar.

Berhampiran hotel berkenaan itu, pokok Krismas yang menghiasi jalan raya ditumbangkan dan bertimbun di tengah jalan dan dibakar, mendorong penunjuk perasaan menjerit.

Belia juga cuba memecahkan tingkap Apple Store di Champs Elysees yang baru dibuka beberapa minggu lalu. Butik di Rue Rivoli juga dipecah masuk.

Polis berkata, beratus-ratus pelampau berhaluan kanan dan kiri menyusup masuk ke dalam demonstrasi itu yang disertai 5,000 penunjuk perasaan ‘ves kuning’ yang berkumpul untuk membantah kenaikan cukai bahan bakar oleh Presiden Emmanuel Macron.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 3:01 PM