HILLENBURG dan pelakon, Scarlett Johansson. FOTO AFP
Reuters

PENCIPTA watak kartun popular SpongeBob SquarePants, Stephen Hillenburg meninggal dunia pada usia 57 tahun selepas setahun menderita sejenis penyakit saraf, kata stesen televisyen Nickelodeon semalam.

Hillenburg pada tahun lalu mengumumkan dia disahkan menghidap penyakit saraf sklerosis lateral amiotrofik atau dikenali sebagai ALS.

ALS adalah penyakit neuron motor yang secara beransur-ansur memusnahkan saraf yang mengawal otot dan menyebabkan kelemahan, lumpuh, dan akhirnya kematian.

Dia meninggal dunia pada Isnin lalu.

“Kami sangat sedih dengan pemergian Steve Hillenburg yang berjuang melawan ALS,” kata Nickelodeon dalam satu kenyataan.

Hillenburg adalah guru marin biologi di Southern California apabila dia mencipta watak dalam laut berkenaan sebagai alat bantuan pembelajaran.

Episod pertama SpongeBob SquarePants yang menampilkan span laut berwarna kuning yang tinggal di dalam buah nenas dan rakannya Mr Krabs, Larry the Lobster dan Patrick mula ditayangkan di Amerika Syarikat pada Mei 1999.

Siri itu menjadi fenomena dengan memenangi beberapa anugerah, dihasilkan dalam bentuk buku, dua filem Hollywood dan persembahan muzikal Broadway.

SpongeBob SquarePants kini disiarkan di lebih 200 negara dan diterjemah dalam lebih 60 bahasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 6:36 PM