NURCAHYO menerangkan kepada media. FOTO/REUTERS
Reuters

JAKARTA: Juruterbang Lion Air memberitahu kawalan trafik udara bahawa ia mengalami ‘masalah kawalan penerbangan’ sejurus sebelum terhempas ke dalam Laut Jawa bulan lalu, kata penyiasat Indonesia hari ini.

Menjelang siaran laporan pertamanya, jawatankuasa keselamatan pengangkutan (KNTK), memberikan butiran terperinci mengenai masalah dihadapi juruterbang dalam mengawal penerbangan Boeing Co 737 MAX sebelum ia terhempas pada 29 Oktober lalu, mengorbankan semua 189 penumpang dan anak kapal.

Dalam penerbangan awal pagi itu, seorang daripada juruterbang meminta pengawal trafik mengesahkan ketinggian dan kelajuan pesawat berkenaan.

Juruterbang, kemudian melaporkan mereka berhadapan ‘masalah kawalan penerbangan’, menurut kenyataan.

Minggu lalu, penyiasat KNTK, Nurcahyo Utomo, memberitahu Parlimen bahawa Sistem Peningkatan Ciri Pemanduan (MCAS), ubahsuai automatik baru kepada model yang terhempas itu, diaktifkan dan mengarahkan jet berkenaan menjunam untuk mengelakkan ia berhenti tiba-tiba.

Sistem jet itu mengesan ia berhenti tiba-tiba disebabkan kerosakan penunjuk dan memberikan amaran kepada kapten menerusi ‘stick shaker’ (peranti mekanikal) yang menggegarkan kawalan.

Juruterbang yang menerbangkan pesawat sama sehari sebelum itu mengalami masalah sama sehingga mereka menggunakan suis untuk mematikan sistem berkenaan, kata KNTK dalam kenyataannya hari ini.

Siasatan mengenai nahas itu masih pada tahap awal dan menjadi sukar susulan kekurangan bukti daripada rakaman suara kokpit, yang masih hilang di bawah laut.

KNKT tidak memberitahu punca nahas dan cadangan itu adalah petunjuk kepada bidang tumpuan, tetapi ia tidak semestinya penyebab utama.

Lagi berita berkaitan Nahas Lion Air

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 1:21 PM