Imam di masjid Reza Abad, Molavi Abdolghafur Jamalzahi (tengah) ditembak mati semalam. FOTO/RADIOFARDA.COM
AFP

TEHRAN: Imam berfahaman Sunnah yang selalu mengimamkan solat Jumaat ditembak mati semalam di sebuah kampung di utara Iran, lapor agensi berita IRNA.

Molavi Abdolghafur Jamalzahi ialah imam di masjid Reza Abad, berhampiran Ramiyan yang terletak 120 kilometer ke timur laut Tehran di wilayah Golestan.

Beliau ditembak empat kali dalam perjalanan pulang ke rumah dari masjid.

Reza Abad mempunyai 4,000 penduduk dan sebahagian besar ialah warga asing dan pelarian, menurut IRNA.

Ia berkata, pihak berkuasa masih belum memberikan motif pembunuhan Jamalzahi, tetapi memetik sumber tidak dikenali sebagai berkata ia mungkin ada kaitan dengan ‘permusuhan peribadi dan pergolakan puak’.

Jamalzahi berketurunan Baluchi, kumpulan etnik yang boleh ditemui di tenggara Iran dan barat Pakistan.

Iran mengamalkan fahaman Syiah tetapi Perlembagaan memberi kebebasan kepada 10 peratus penduduk berfahaman Sunnah mengamalkan amalan agama menurut bidang kuasa agama mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 11:52 AM