Kedai Choose Love Julia menjual makanan, pakaian dan kelengkapan sekolah. FOTO REUTERS
Reuters

LONDON: Sebuah kedai amal sementara atau pop-up yang disokong kuat aktres tersohor Julia Roberts kini dibuka di London.

Kedai berkonsep pop-up itu memberi peluang kepada pelanggan untuk membeli makanan, pakaian dan juga kelengkapan sekolah untuk diedarkan kepada pelarian di seluruh dunia.

‘Choose Love’ yang dikendalikan badan amal Help Refugees itu kini dibuka kepada orang ramai berhampiran Carnaby Street, London.

Difahamkan juga, cawangan kedua ‘Choose Love’ akan dibuka di West Broadway, New York pada Selasa.

Menurut ketua eksekutif badan amal itu, Josie Naughton, pembeli akan datang dan membeli selimut atau jaket keselamatan tanpa membawa pulang sebarang produk.

“Sebaliknya, mereka hanya membawa pulang satu perasaan kasih sayang yang tulus dan ikhlas,” kata Naughton.

Help Refugees berkata, semua wang yang berjaya dikutip akan disalurkan kepada pelarian.

Lot kedai yang digunakan juga adalah percuma selain kakitangan yang terdiri daripada sukarelawan.

Roberts yang juga bintang utama “Pretty Woman” turut membantu mempromosi inisiatif itu dengan memakai kemeja-T “Choose Love” ketika menghadiri acara permaidani merah selain memuat naik rakamannya menggayakan kemeja itu di media sosial.

Kedai di London yang akan dibuka sehingga Januari depan itu berjaya mengumpulkan lebih daripada £ 750,000 (RM4 juta) ketika kali pertama diperkenalkan tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 5:57 PM