PERUSUH jaket kuning membakar timbunan kayu dekat dataran Champs Elysee. - Agensi
Agensi

PARIS: Asap akibat perusuh membakar perabot, malah kenderaan di jalan raya menyelubungi Paris ketika ribuan orang menyertai perhimpunan membantah kenaikan harga minyak.

Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air terhadap penunjuk perasaan ‘Jaket Kuning’ yang memenuhi Paris dengan Champs Elysee menjadi ‘medan perang’.

Sebuah treler meletup selepas dibakar di Champs Elysees dan seorang lelaki yang cuba menyerang anggota bomba ditangkap perusuh.

Di Avenue de Friedland berdekatan, polis terpaksa menggunakan peluru getah terhadap perusuh bagi mengawal keadaan.

Kira-kira 5,000 penunjuk perasaan memenuhi Champs Elysees dengan polis membuat pertahanan bagi menghalang mereka sampai ke kediaman Presiden Emmanuel Macron, Istana Elysee.

Mereka menyanyikan lagu kebangsaan dan mengibarkan bendera Perancis serta membawa sepanduk bertulis ‘Macron letak jawatan’ dan ‘Macron pencuri’.

Polis sudah menahan 22 orang perusuh di Paris serta di kawasan lain di seluruh negara.

Tunjuk perasaan yang masuk minggu kedua itu tercetus selepas kerajaan menaikkan harga minyak serta rakyat yang tidak senang dengan dasar ekonomi Macron.

Tahun lalu, kerajaan Macron melaksanakan cukai terhadap petrol dan diesel dengan alasan mengurangkan pencemaran dan menawarkan insentif membeli kenderaan elektrik sebagai ganti.

Perusuh yang memakai jaket kuning (yang diwajibkan ada dalam semua kenderaan di Perancis) menghalang jalan raya dengan membakar apa saja di atas jalan, konvoi lori bergerak perlahan, menghalang laluan ke depoh minyak, pusat beli-belah dan kilang.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, hampir 300,000 menyertai tunjuk perasaan pada Sabtu minggu lalu.

Semalam, sehingga 80,000 orang menyertai tunjuk perasaan di seluruh negara, termasuk 8,000 di Paris.

Tunjuk perasaan itu dilapor mereka ke wilayah Perancis yang lain termasuk Kepulauan Reunion di Lautan Hindi apabila perusuh membakar kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 12:10 PM