POLIS mengiringi suspek yang didakwa melakukan siri pembunuhan kejam selepas merogol mangsa di India. - Agensi

Agensi

NEW DELHI: Seorang pembunuh bersiri kejam mematahkan kaki sekurang-kurangnya sembilan budak perempuan dengan batu sebelum merogol serta membunuh mereka, lapor media tempatan.

Daily Mail melaporkan, kes itu terbongkar selepas suspek yang dikenali sebagai Sunil, 20, membuat pengakuan ketika disoal siasat polis berhubung pembunuhan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

Dia yang diburu pihak berkuasa ditahan di kampung Magarpur, Uttar Pradesh India, kelmarin selepas mangsa dilaporkan dibunuh di bandar Gurugram, barat daya New Delhi pada 12 November lalu.

Mayat mangsa ditemui sehari selepas dia dilaporkan hilang dan tulang tengkoraknya turut retak akibat dihentak batu.

Bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat kecederaan teruk di kepala dan mengalami pendarahan dalaman.

Menurut polis, suspek berusia 20 tahun itu bekerja di dapur bergerak bhandaras yang menyediakan makanan percuma ketika perayaan.

Sunil memberitahu polis dia menyasarkan kanak-kanak kecil di penempatan terbabit yang diumpan dengan gula-gula atau wang sebelum diculik, lapor Hindustan Times.

Times of India melaporkan, Sunil dipercayai merogol dan membunuh sembilan mangsa di Delhi, Gurugram, Gwalior dan Jhansi dalam tempoh dua tahun.

Mangsa pertama dilaporkan kanak-kanak berusia empat tahun yang diculik pada 2016, sebelum mayat seorang lagi mangsa ditemui pada Januari tahun lalu dengan kecederaan pada kepala dan kaki.

Pegawai penyiasat, Sumit Kuhar berkata, mangsa diculik dan dibawa ke kawasan terbiar untuk diperlakukan dengan kejam.

“Suspek memberitahu dia ingin merasai makanan sedap di bhandaras dan kanak-kanak perempuan untuk melampiaskan nafsu.

“Kami terkejut dengan pengakuan bahawa dia bukan saja merogol dan membunuh tiga mangsa di Gurugaram tetapi empat orang di Delhi, seorang di Jhansi dan seorang lagi di Gwalior dalam tempoh dua tahun.

“Dia memilih mangsa yang bersendirian dan jauh dari rumah sebelum dibawa ke tempat terbiar dan dibunuh serta mayat mereka ditinggalkan di situ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 6:01 AM