Wanita membunuh teman lelakinya kerana berang dia mahu berkahwin perempuan lain di Al Ain. FOTO Frank Fell/Daily Mail
Agensi

Rabat (Maghribi) : Berang dengan teman lelakinya yang ingin berkahwin dengan orang lain, seorang wanita nekad membunuh dan melapah mayat lelaki terbabit sebelum dimasak bersama nasi yang dihidangkan kepada pekerja warga Pakistan.

Daily Mail melaporkan, wanita terbabit menjalin hubungan selama tujuh tahun dengan mangsa dikatakan tidak dapat mengawal dirinya ketika melakukan pembunuhan itu di rumahnya di Al Ain, Maghribi, kata pendakwa raya.

Mangsa dikatakan dibunuh dengan kejam apabila anggota badannya dikerat dan dagingnya dikisar di dalam mesin pengisar.

Kehilangan mangsa pada mulanya disedari oleh abangnya yang segera membuat laporan polis selain cuba mencari di rumah wanita itu namun suspek mendakwa dia menghalau keluar teman lelakinya.

Laporan polis yang memetik abang mangsa berkata, polis menemui gigi manusia di dalam mesin pengisar di rumah wanita itu yang kemudiannya disahkan ia adalah milik mangsa selepas ujian DNA dilakukan.

Wanita terbabit kemudiannya ditahan polis dan memberitahu dia melakukan perbuatan kejam akibat tidak dapat mengawal diri dan ingin membalas dendam selepas berhabis banyak wang untuk teman lelakinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 10:24 PM