GAMBAR HIASAN
Agensi

SINGAPURA: Orang yang kena cabul tidak mungkin boleh mereka cipta kejadian itu.

Begitulah pendirian hakim yang menolak dakwaan seorang pemandu Grab bahawa seorang penumpang berada dalam keadaan berkhayal menyebabkan dia percaya dicabulinya.

Hakim berkata, itu hanya alasan tertuduh berusia 30 tahun yang bersalah memperkosa penumpangnya yang berumur 22 tahun.

Selepas perbicaraan selama 10 hari, hakim juga berpendapat, pemandu teksi itu tidak berterus-terang ketika memberi keterangan dan kelihatan cuba mengelak menjawab pada ketika tertentu.

Pemandu itu juga tidak dapat beri sebab kukuh mengapa dia perlu berada di satu kawasan parkir dengan penumpangnya yang sedang tidur.

Adalah sukar menerima pandangan tertuduh bahawa seseorang ‘boleh pergi ke Kuala Lumpur dengan pesawat’ dalam tempoh 58 minit ketika dia berada di situ, kata hakim lagi.

Kejadian berlaku pada 13 Julai tahun lalu apabila mangsa menempah teksi untuk pulang ke Tampines selepas berparti di dua kelab malam di Clarke Quay.

Selepas tertuduh tiba di tempat letak kereta di kawasan kediaman di Tampines, dia berada hampir sejam dengan penumpangnya yang tidur.

Apabila penumpang itu membuka mata, dia mendapati dirinya di peha tertuduh, lapor portal berita Today Online, semalam.

Ketika perbicaraan pada Ogos lalu, tertuduh memberi alasan mangsa mengada-adakan cerita kerana keadaan mentalnya di mana mahkamah diberitahu plaintiff mengalami kemurungan, masalah personaliti dan kesihatan.

Bagaimanapun, mangsa berkata, keadaan mentalnya itu hanya menyebabkan perubahan ‘mood’ tidak menentu dan tidak menyebabkan ‘halusinasi.’

Mangsa juga tidak lagi mengambil ubat anti kemurungan atau sebarang rawatan ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 6:04 PM