PEMBINAAN pelabuhan dan kemudahan lain yang dilakukan China di Kepulauan Spratly, Laut China Selatan. - Agensi
Agensi

Phnom Penh: Kemboja menegaskan tiada pangkalan tentera asing akan dibina di negara itu susulan laporan menyatakan China sedang melobi untuk mewujudkan pangkalan tentera laut di Koh Kong.

Minggu lalu, akhbar Asia Times yang memetik sumber diplomatik dan penganalisis melaporkan, Beijing melobi Kemboja sejak tahun lalu untuk membina pangkalan tentera laut bagi menempatkan kapal perang, kapal pemusnah dan kapal lain.

“Adakah Kemboja perlu melanggar perlembagaan untuk membenarkan pangkalan tentera asing di wilayahnya?

“Dengan siapa Kemboja perlu berperang bersama tentera asing itu?

“Saya tidak perlu orang asing berperang dalam wilayah Kemboja seperti masa lalu.

“Kemboja tidak akan membenarkan negaranya menjadi tempat eksperimen ideologi atau senjata,” Menteri Penerangan Khieu Kanharith memetik Perdana Menteri Hun Sen sebagai berkata di Facebook ketika mesyuarat Kabinet semalam.

China dilaporkan sedang membina pangkalan tentera laut di pulau buatan di Laut China Selatan melalui projek Kumpulan Pembangunan Kesatuan Tianjin China (UDG) yang menjadi kebimbangan Amerika Syarikat.

Usaha mewujudkan pangkalan tentera Kemboja itu mungkin sebahagian daripada projek UDG.

Awal tahun ini, pemerintah Armada Pasifik Amerika, Laksamana Harry Harris, menyatakan China membina tujuh pangkalan tentera di Laut China Selatan, termasuk di Kepulauan Spratly.

Harris memberitahu jawatankuasa Senat, kemudahan China itu termasuk tempat menyimpan pesawat, berek tentera, radar, senjata dan landasan sepanjang lebih 3,000 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 10:00 AM