PEMIMPIN Tableeghi Jamaat Pakistan, Abdul Wahab, 96, atau dikenali sebagai Bai Wahab meninggal dunia di Raiwind, Lahore akibat sakit tua. FOTO The Express Tribune
Agensi

PEMIMPIN Tableeghi Jamaat Pakistan, Abdul Wahab, 96, atau dikenali sebagai Bai Wahab meninggal dunia di Raiwind, Lahore, hari ini akibat sakit tua.

Abdul Wahab dilahirkan di British India berhampiran Delhi pada 1922.

Selepas menamatkan pelajaran di Kolej Islam Lahore, dia menyertai perkhidmatan awam tetapi meletakkan jawatan selepas bertemu pengasas Tableeghi Jamaat, Maulvi Ilyas Kandelvi.

Abdul Wahab kemudian berhijrah ke Pakistan pada 1947 dan menubuhkan sebuah madrasah di Lahore.

Dia melawat setiap wilayah dan kampung di Pakistan untuk berdakwah.

Fokus utama Abdul Wahab dalam dakwahnya adalah mengajar penduduk bersolat, mendapatkan pendidikan, menghormati sesama manusia dan mengajak mereka menyertai tabligh.

Express News melaporkan, solat jenazah dan upacara pengebumian akan dilakukan selepas solat maghrib pada hari ini.

Setengah juta orang dijangka menyertai upacara berkenaan bagi memberi penghormatan terakhir kepada ulama terkenal berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 3:28 PM