KENDALIAN dan latihan untuk pesawat 737 MAX juga mungkin berubah ketika FAA dan Boeing mendapat penjelasan lanjut daripada siasatan. FOTO/AGENSI
Reuters

WASHINGTON/SEATTLE: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) dan Boeing Co sedang meneliti keperluan terhadap perubahan perisian atau reka bentuk pesawat 737 MAX susulan nahas Lion Air di Indonesia, kata pengawal selia itu semalam.

Saham Boeing jatuh 2.1 peratus semalam berikutan kebimbangan nahas pertama versi terbaharu pesawat jualan terbaik syarikat, di mana kesemua 189 penumpang maut apabila ia terjunam ke Laut Jawa akhir Oktober lalu.

Isnin lalu, penyiasat Indonesia berkata, satu sistem direka untuk menangani senario nahas, tidak dijelaskan dalam manual penerbangan. Mereka menggesa lebih banyak latihan untuk juruterbang 737 MAX.

Kesatuan juruterbang AS kemudian berkata, mereka tidak sedar mengenai sistem baharu anti-pegun.

Prosedur kendalian dan latihan untuk pesawat 737 MAX itu juga mungkin berubah ketika FAA dan Boeing mendapat penjelasan lanjut daripada siasatan, kata pengawal selia itu dalam satu kenyataan.

Penyiasat sedang bersiap sedia menerbitkan laporan awal nahas sama ada 28 atau 29 November ini, sebulan selepas pesawat Lion Air terhempas pada kelajuan tinggi ke Laut Jawa.

Sehingga kini, perhatian umum terarah kepada potensi masalah penyelenggaraan termasuk satu kegagalan pengimbas untuk ‘sudut serangan’, data penting diperlukan untuk membantu pesawat terbang pada sudut betul mengikut arus udara dan menghalangnya daripada pegun.

Fokus siasatan kini jelas dilanjutkan untuk menjelaskan prosedur diluluskan AS bagi membantu juruterbang menghalang pesawat 737 MAX daripada bertindak balas terhadap kehilangan data serta kaedah melatih mereka.

Ketua Eksekutif Boeing, Dennis Muilenburg memberitahu Fox Business Network semalam, pihaknya menyediakan ‘semua maklumat diperlukan untuk penerbangan selamat’ dan 737 MAX adalah pesawat ‘amat selamat.’

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 3:53 PM