BEBOLA api dilihat ketika serangan udara Israel terhadap stesen televisyen Hamas. - Reuters
Reuters

Semenanjung Gaza/Baitulmaqdis: Pejuang Palestin semalam melancarkan serangan paling intensif terhadap Israel sejak perang Gaza pada 2014, sebagai balasan terhadap serbuan ala komando merentas sempadan dilaksanakan lewat Ahad lalu.

Pertempuran yang membunuh tiga pejuang Palestin dan seorang awam di Israel mengancam usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mesir dan Qatar yang bertindak sebagai orang tengah dalam usaha gencatan senjata jangka panjang, selain dibimbangi mencetuskan konflik besar lagi di rantau itu.

Hamas dan pergerakan bersenjata lain melancarkan lebih 300 roket atau bom mortar melepasi sempadan selepas serangan mengejut menggunakan peluru berpandu terhadap sebuah bas yang mencederakan seorang askar Israel, kata tentera.

Siren di bandar di selatan Israel dan pelabuhan Ashkelon mengakibatkan penduduk bertempiaran lari mencari perlindungan, selain beberapa rumah dibedil.

Israel membalas dengan puluhan serangan udara terhadap bangunan di Gaza termasuk pekarangan risikan Hamas dan studio televisyen Al-Aqsa, namun kakitangannya bernasib baik sudah mendapat amaran awal daripada tentera untuk mengosongkannya.


SEORANG budak lelaki melihat kerosakan pada bangunan kediaman akibat serangan udara Israel. - EPA

Mesir menggesa Israel menghentikan serangan, manakala Amerika Syarikat (AS) mengecam Hamas.

Sejak 30 Mac lalu, penduduk Palestin melancarkan protes di sempadan setiap minggu menggesa sekatan terhadap Gaza dihentikan, selain untuk hak mendapatkan semula tanah dirampas sejak penubuhan Israel pada 1948. Tentera Israel membunuh lebih 220 orang Palestin dalam pertempuran akibat protes sejak itu.

Ahad lalu, tentera Israel yang menyamar menyelinap ke Gaza yang mencetuskan pertempuran yang membunuh seorang komander Hamas, enam pejuang Palestin lain dan seorang pegawai tentera Yahudi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 9:56 AM