KANAK-KANAK itu dilihat terbaring di atas jalan selepas digilis sebuah kereta. - Agensi
Agensi

BEIJING: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dianggap sebagai budak ajaib kerana tidak mengalami kecederaan walaupun digilis sebuah kereta ketika bermain di sebatang jalan raya di China.

Media tempatan berkata, kanak-kanak itu dilaporkan bermain di tengah jalan dalam kejadian yang berlaku di bandar Yiwu di wilayah Zhejiang, timur China.

Satu rakaman kamera keselamatan menunjukkan kanak-kanak itu yang memakai baju berwarna merah jambu dan seluar merah berbaring di atas jalan raya sebelum sebuah kereta putih bergerak mendekatinya.

Ketika kejadian, jalan itu sibuk dengan kenderaan dan sebuah skuter dilihat mengelak daripada melanggar kanak-kanak berkenaan.

Namun, kereta putih itu gagal mengelak dan kanak-kanak berkenaan dilihat digilis oleh tayar depan serta tayar belakang kenderaan itu.

Apabila menyedari kejadian itu, pemandu kereta berkenaan segera keluar untuk melihat keadaan kanak-kanak itu yang kemudiannya dihantar ke hospital oleh ahli keluarganya.

Bagaimanapun, bapa saudara kanak-kanak itu memberitahu akhbar BJ News, mangsa hanya mengalami calar-calar pada badannya.

“Kami membawanya ke hospital untuk pemeriksaan tetapi doktor mendapati anak saudara saya tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibenarkan pulang,” katanya.

Doktor memberitahu, kanak-kanak itu terselamat dalam kemalangan itu kerana tulangnya masih lembut dan dia memakai pakaian yang tebal ketika itu.

Menurut pakar di Hospital Universiti Oxford, tulang kanak-kanak lebih lembut berbanding orang dewasa menyebabkan tulang mereka boleh melentur berbanding patah apabila berlaku sebarang impak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 6:01 AM