PENJAGA gol Leicester City, Kasper Schmeichel memakai baju tertera gambar mendiang Vichai Srivaddhanaprabha. FOTO Reuters
Reuters

LONDON : Semua pemain kelab Leicester City akan mengenakan baju t bersulam nama pemilik, Vichai Srivaddhanaprabha apabila bermain di laman sendiri untuk perlawanan pertama selepas kematian mendiang dalam tragedi helikopter terhempas bulan lalu.

Vichai adalah seorang daripada lima mangsa yang maut dalam nahas berhampiran Stadium King Power selepas perlawanan akhir Leicester di laman sendiri pada 27 Oktober lalu.

Kelab itu dalam satu kenyataan berkata, upacara mengenang mendiang akan dilakukan menerusi persembahan video pada perlawanan menentang Burnley Sabtu ini manakala penyokong kelab berkenaan juga dilaporkan merancang satu perarakan ke lokasi

Pemain dari kedua-dua pasukan akan mengenakan lilit lengan berwarna hitam sebagai tanda berkabung dan bertafakur selama dua minit sebelum sepak mula.

Semua pemain Leicester akan mengenakan baju t khas itu pada separuh masa pertama dan baju t bersulam bunga popi pada separuh masa kedua sebagai memperingati ‘Remembrance Sunday’.

“Seluruh ahli keluarga Srivaddhanaprabha dan Kelab Bola Sepak Leicester City sangat terharu dengan keprihatinan dan sokongan ramai yang dizahirkan menerusi kalungan bunga serta pelbagai barangan lain di Stadium King Power,” kata kelab berkenaan.

“Sokongan peminat, komuniti dan dunia bola sepak pada waktu sukar ini tidak akan dilupakan buat selamanya,” kata kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 10:36 PM