Penduduk New Delhi membakar mercun pada perayaan Deepavali menyebabkan pencemaran. FOTO EPA
Reuters

NEW DELHI: Pencemaran di ibu negara India, New Delhi, mencapai tahap ‘teruk’ hari ini selepas ramai yang berpesta dan bermain bunga api sempena perayaan Deepavalli.

Dua indeks pencemaran menunjukkan keadaan udara ‘amat teruk’ dan ‘teruk’, amaran bahawa ada penduduk akan menghadapi masalah pernafasan jika terdedah lama kepada keadaan itu.

Indeks itu mengukur partikel kecil beracun atau PM 2.5 atau lebih kecil daripada itu yang boleh memasuki paru-paru manusia.

Kedutaan Amerika Syarikat berkata, tahap 2.5 itu dikesan di sebahagian pusat bandar Delhi dan melonjak hingga 689 yang boleh menggugat kesihatan.

Keadaan dilaporkan hanya selamat jika tahap partikel itu kurang atau di bawah 50.

Satu pasukan petugas di bawah kawalan kerajaan pusat dijadual mengadakan rundingan bagi mendedahkan keadaan sebenar pagi ini, kata jurucakap kerajaan.

Tidak ramai penduduk New Delhi memakai topeng pelindung ketika keluar rumah dalam keadaan berjerebu masih tebal dekat Parlimen

Bulan lalu, Mahkamah Agung membenarkan penggunaan bunga api ‘mesra alam’ sempena perayaan Deepavalli tetapi dihadkan tempohnya selama dua jam pada waktu malam.

Bagaimanapun, tidak ada bunga api mesra alam dijual manakala ramai menggunakan ribuan bunga api dan mercun semalaman.

Pihak berkuasa keberatan mengharamkan bunga api itu kerana tidak mahu mencetuskan kemarahan majoriti penganut Hindu yang menyambut Deepavalli.

Partikel kecil jerebu dilaporkan boleh memberi masalah besar dari segi kesihatan dan doktor sudah melaporkan kenaikan kes masalah pernafasan sejak beberapa minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 5:10 PM